BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, June 12, 2016

@@ 3 @@

“Assalamualaikum”, aku memberi salam sesampainya di rumah

Kelibat motosikal abah tidak kelihatan. Mungkin tiada di rumah.

Terus aku ke bilik untuk menukar pakaian dan kemudian menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

Selepas selesai menunaikan solat Zohor, aku menuju ke dapur untuk mengisi perut yang kosong. Kelihatan emak sedang membersihkan ikan bilis di meja makan.

“Mak, wat apa tu?”, aku sekadar bertanya

Emak memandangku sambil tangannya masih bekerja

“Ni ha, mak bersihkan bilis ni. Abah beli tadi”, emak menjawab

“Mak dan makan ke?. Abah mana?”, aku terus bertanya

“Dah…dengan abah kau tadi. Abah kau tu, ke mana lagi kalau tak ke kebun”, emak berterusan meneruskan kerjanya tanpa memandang ke arahku

Aku menuju ke arah rak pinggan. Nasi dari periuk nasi ku senduk dan terus melabuhkan punggung di sisi emak. Tudung saji ku buka dan terhidang ikan cencaru sumbat sambal, telur masin dan kangkung goreng belacan. Terus terbuka seleraku

“Ermmm…sedapnya mak”, aku terus menyuap nasi ke mulutku

Emak hanya tersenyum. Sedar akan kegemaran anak daranya seorang itu.

Kami terus berbual hingga nasi di pingganku habis. Aku kekenyangan dan mata terasa berat. Penangan perut kenyang.

“Mak, cikgu suruh beli buku esok”, aku memaklumkan kepada emak semasa sedang mencuci pinggan. Di meja makan tadi baru aku teringat Cikgu Azhar memaklumkan kepada kami supaya membeli buku Latihan Prinsip Akaun.

“Berapa harganya”,emak menyoalku

“Cikgu cakap lebih kurang RM20. Nak guna buku tu untuk buat latihan dalam kelas nanti”, aku memberitahu emak lagi

“Emmm…nanti mak bagitau abah”, putus emak

Aku hanya mengangguk. Tanganku ligat membantu emak membersihkan bilis yang berada di atas meja itu.

“Mia tak ada kerja sekolah ke?, emak menyoalku setelah agak lama kami membisu

“Ada, petang-petang sikit la Mia buat. Nak rehat jap”, aku menjawab. Badanku agak penat hari itu. Kebiasaanya, aku akan menyiapkan kerja sekolah sebaik sahaja selesai menjamu selera. Menjadi kebiasaanku menyiapkan kerja sekolah awal dan mengulangkaji pelajaran di waktu malam.

“Kalau gitu, pergi la masuk bilik rehat. Biar mak aje yang bersihkan bilis ni. Bukannya banyak pun”, emak nampaknya faham keadaan aku yang nampak agak keletihan petang itu

Aku bangun menuju ke sinki untuk mencuci tangan

“Mia masuk bilik dulu ye mak”, aku memaklumkan kepada emak

Emak hanya mengangguk


Sesampai di bilik, aku merebahkan badan sambil tanganku membelek jadul waktu persekolahanku. Lama ke lamaan, pandangan mataku kabur dan aku terlelap.

0 comments: